Jenama telefon pintar dari Shenzen, China iaitu FreeYond tampil menjadi penaja terbaru buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama setahun dengan pilihan lanjutan selama satu tahun bagi memperkasa dan meningkatkan pertumbuhan sukan badminton Malaysia.
Perkembangan itu hadir setelah kedua-dua pihak menandatangani satu perjanjian penajaan dalam satu majlis yang berlangsung di Axiata Arena Kuala Lumpur pada hari ini.
Dalam majlis berkenaan, BAM diwakili Setiausaha Agung, Dato’ Kenny Goh Chee Keong sambil disaksikan presidennya, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria merangkap Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Manakala FreeYond pula diwakili pengarah eksekutif syarikat pengedar ekskkusifnya di Malaysia, Fast Technology iaitu Vincent Tan Wye Chuan.
Menerusi perjanjian ini, FreeYond memberikan komitmen untuk menyokong sukan badminton tempatan dan atlet Malaysia dengan menyediakan bantuan kewangan dan sumber yang dimaklumkan bernilai RM2 juta.
Perkara ini akan menyumbang kepada persiapan pemain negara untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 Paris pada tahun hadapan serta inisiatif-inisiatif pembangunan baharu.
Selain itu, FreeYond turut komited untuk memupuk bakat sukan dan mempromosikan gaya hidup sihat di negara ini.
Pada masa yang sama, logo FreeYond pula akan disematkan pada jersi yang disarung oleh barisan pemain badminton negara yang bernaung di bawah BAM ketika beraksi di pelbagai kejohanan antarabangsa.
Untuk pengetahuan semua, FreeYond yang hadir dengan penawaran produk pada harga berpatutan telah memasuki pasaran Malaysia – negara pertama di rantau asia tenggara – bermula Mac lalu.
Sebanyak empat produk dipasarkan FreeYond di Malaysia yang terdiri daripada dua telefon pintar M5 dan F9 serta jam tangan pintar, Watch F1 serta set kepala True Wireless Stereo (TWS) Pods 1.