Safawi Kembali Sarung Jersi JDT, Masih Adakah Ruang Buat Pasukan Lain?
May 24, 2023 Meor Mohamad Amirul

Penyerang sensasi, Safawi Rasid kini telah kembali ke tanah air apabila dilihat menyertai sesi latihan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) sejurus tamat saingan Ratchaburi di Liga Thailand.

Sebelum ini, pemain berusia 26 tahun itu berhijrah ke bumi Thailand atas kemahuannya sendiri untuk mencari minit permainan, sepertimana yang dimaklumkan pemilik JDT, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim dalam satu wawancara bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Kini, Safawi pulang ke pangkuan skuad berjulukan Harimau Selatan itu sekaligus memberikan gambaran yang samar berkenaan masa depan pemain tersebut menjelang jendela perpindahan yang akan datang. 

Status Safawi yang masih lagi samar bersama JDT juga seolah-olah membuka ruang buat banyak kelab bukan sahaja di liga tempatan malahan di rantau Asia Tenggara untuk mendapatkan penyerang tersebut. 

Terdahulu, sebuah kelab yang terletak di pantai timur tanah air dikhabarkan berminat untuk mendapatkan penerima anugerah Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia bagi musim 2018 dan 2019 itu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.

Khabar angin perpindahan Safawi itu kemudiannya beralih pula ke bumi Indonesia apabila Persib Bandung juga dikatakan menunjukkan minat untuk mendapatkan pemain tersebut beraksi dalam saingan Liga 1 yang bakal bermula Julai 2023.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen