Artikel

4 Beregu Campuran Negara ‘Gali Kubur’ Di Malaysia Masters 2023

Kesemua beregu campuran negara samada yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau bergerak secara bebas (independent) menerima nasib yang sama di pentas Malaysia Masters 2023 – tersungkur di peringkat awal iaitu Pusingan 32.

Untuk makluman, seramai empat beregu campuran Malaysia bertanding dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500 BWF pada kali ini. Antaranya gandingan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Chen Tang-Toh Ee Wei dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See.

Episod duka melibatkan keempat-empat pasangan ini bermula dengan Kian Meng-Pei Jing tumpas yang turun pada perlawanan pertama di Gelanggang 1 tumpas kepada beregu No.2 Thailand, Supak Jomkoh dan Supissara Paewsampran secara “straight set” dengan skor 20-22 dan 20-22.

Kedukaan itu diikuti pula oleh gandingan Peng Soon-Yee See yang terpaksa akur akan kekalahan di tangan beregu No.2 Korea, Kim Won-ho dan Jeong Na-eun juga secara “straight set” dengan skor 8-21 dan 15-21 dalam tempoh masa 37 minit permainan.

Naib juara Terbuka Swiss yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan, Soon Huat-Shevon tidak terlepas daripada mengalami nasib yang sama apabila tidak dapat menjinakkan pasangan campuran Indonesia, Praveen Jordan dan Melati Daeva Oktavianti dan akur tumpas dengan menerusi skor 19-21, 21-18 dan 12-21.

Akhir sekali, kejohanan yang menawarkan hadiah terkumpul berjumlah AS$420,000 ini disahkan tidak akan dihiasi dengan kelibat wakil Malaysia bermula Pusingan 16 apabila juara Orleans Masters, Tang Jie-Ee Wei turut sama tumpas.

Pasangan yang menghuni ranking ke-20 dunia ini mengalami kekalahan di tangan beregu No.2 Indonesia, Rinov Rivaldy dan Pitha Haningtyas Mentari menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 20-22, 21-11 dan 15-21 setelah bertarung hampir satu jam permainan.

komen