Kami Hendak Letak Treler Tetapi Treler Itu ‘Bocor’ – Fandi Ahmad
May 25, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui mahu bermain dengan lebih defensif ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) tetapi barisan serangan skuad berjulukan Harimau Selatan itu memiliki kualiti yang lebih baik dalam memastikan mereka menjaringkan gol dan memenangi perlawanan.

Jelas Fandi, Sri Pahang cuba bermain menggunakan formasi 3-4-3 yang boleh berubah kepada formasi 5-4-1 ketika fasa bertahan bertujuan untuk memadatkan kawasan tengah serangan lawan yang diakui berkesan tetapi tidak cukup untuk menghalang usaha jentera serangan JDT.

“Kita sebenarnya tadi nak bermain (formasi) 3-4-3. Hilang bola jadi 5-4-1. Berkesan, cuma mungkin mereka berusaha lebih baik daripada kita dan gol mereka pun kita tak sangka.”

“Saya ada cakap kita nak taruk (letak) treler tetapi treler itu ‘bocor’ hari ini”, kata Fandi selepas perlawanan menentang JDT. 

Bagaimanapun, Fandi tetap berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan para pemainnya dan mengakui kualiti jauh lebih baik yang ditampilkan pasukan di bawah kendalian Esteban Solari itu. 

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), JDT meneruskan rentak cemerlang tanpa kalah musim ini selepas menewaskan skuad Tok Gajah dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Bergson da Silva dan Fernando Forestieri. 

Ini juga bermakna skuad kendalian Fandi tewas buat kali pertama dalam saingan Liga Super 2023 sekaligus menjadikan JDT sebagai pasukan tunggal yang masih mengekalkan rekod 100% kemenangan sehingga ke saat ini. 

Featured Image: Sri Pahang FC

Komen