Zii Jia Pilih Tat Meng Atas Faktor Pengalaman Dan Komunikasi
May 25, 2023 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mempunyai beberapa sebab memilih Wong Tat Meng sebagai Pengarah Kejurulatihan bagi pasukannya seperti diumumkan baru-baru ini.

Seperti kita sedia maklum, jurulatih berusia 56 tahun itu sememangnya diketahui mempunyai banyak pengalaman melatih ramai pemain dari pelbagai negara seperti Indonesia, Scotland, Republik Korea dan Hong Kong.

Namun begitu, status Tat Meng sebagai jurulatih kelahiran Ipoh, Perak serta komunikasi antara ahli-ahli pasukannya dalam Team LZJ turut menjadi faktor pemilihannya. 

“Pertama sekali, dia (merupakan) seorang jurulatih yang berpengalaman dan dia pun orang Malaysia sebagai jurulatih tempatan, (jadi) daripada segi komunikasi saya rasa dia akan bekerja dengan lebih baik bersama ahli pasukan saya yang lain,”

“Sudah tentu, kita tahu dia pernah bawa An Se Young, pemain-pemain handalan, ada keputusan yang sangat bagus, dan dia sudah lama. Walaupun tak menjadi jurulatih di Malaysia, dia tetap ada (menjadi jurulatih) di luar negara, banyak (negara) yang menggunakan khidmatnya,”

“Harapnya, dengan pengalamannya, dia akan bawa saya ke satu aras yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Lu Guang Zu pada Pusingan 32 Malaysia Masters, semalam.

Pada masa yang sama, Zii Jia turut memberikan komen mengenai keluhan pemain No.14 dunia, Ng Ka Long Angus yang menyatakan Tat Meng meninggalkan posisi ketua jurulatih skuad Hong Kong kira-kira tiga bulan sebelum bermulanya temasya Sukan Asia.

Tambahnya lagi, proses perundingan untuk mengikat khidmat Tat Meng dilakukan tanpa melanggar apa-apa undang-undang kontrak dan ianya tidak mempunyai sebarang isu. 

Selain itu, Zii Jia turut memaklumkan, Tat Meng akan menyertai pasukannya selepas berakhirnya saingan Terbuka Indonesia 2023 yang berlangsung sekitar pertengahan bulan hadapan.

Komen