Kelayakan Piala Asia B-23: Malaysia, Thailand & Filipina Diundi Dalam Kumpulan H
May 25, 2023 Meor Mohamad Amirul

Majlis undian bagi saingan kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2024 telah berlangsung sebentar tadi, di Asian Football Confederation (AFC) House, Kuala Lumpur. Dalam sesi undian terbabit, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan H bersama Thailand selaku tuan rumah, Bangladesh dan Filipina.

Peringkat kelayakan Piala Asia B-23 akan berlangsung pada 4 hingga 12 September ini bagi menentukan 16 pasukan yang mara ke pusingan akhir daripada 42 negara yang terlibat. 

Dalam pada itu, Kumpulan A menghimpunkan Jordan (tuan rumah) bersama dua lagi negara Timur Tengah, Jordan dan Syria serta Brunei. Korea Selatan pula hadir sebagai tuan rumah Kumpulan B bersama Myanmar, Kyrgyzstan dan Qatar. 

Bagi Kumpulan C, Vietnam (tuan rumah) diundi bersama negara serantau, Singapura, Yemen dan Guam. Kumpulan D pula dibarisi juara 2016, Jepun, Bahrain (tuan rumah), Palestin dan Pakistan.

Kumpulan E menyaksikan juara 2018, Uzbekistan selaku tuan rumah bakal menentang Iran, Hong Kong dan Afghanistan. Kumpulan F pula dihuni Iraq selaku juara 2013, Kuwait (tuan rumah), Timor Leste dan Macau. 

Sementara itu, China bakal menjadi tuan rumah Kumpulan G yang turut dibarisi UAE, India dan Maldives. Manakala, Kumpulan I bakal diwarnai Australia, Tajikistan (tuan rumah), Laos dan Korea Utara. 

Juara bertahan, Arab Saudi bakal turun selaku tuan rumah bagi Kumpulan J bersama Kemboja, Lubnan dan Mongolia. Kumpulan K pula menghimpunkan hanya tiga negara; Turkmenistan, Indonesia (tuan rumah) dan Chinese Taipei. 

Sebelum ini, Malaysia hanya layak sebanyak dua kali (2018 & 2022) ke Piala Asia B-23 yang telah dijenamakan semula daripada Kejohanan AFC Bawah 22 Tahun (B-22).

Dalam penampilan terakhir negara di kejohanan tersebut, Malaysia gagal mara ke peringkat kalah mati setelah tewas dalam ketiga-tiga perlawanan Kumpulan C menentang Korea Selatan (4-1), Thailand (3-0) dan Vietnam (2-0).

Pencapaian terbaik Malaysia di dalam kejohanan dwitahunan itu adalah pada tahun 2018. Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya mara ke peringkat suku akhir sebelum usaha Malaysia disekat Korea Selatan selepas tewas 2-1. 

Featured Image: Asian Football Confederation (AFC)

Komen