Artikel

Malaysia Masters: 1 Jam 29 Minit Bertarung, 211 Pukulan Iringi Kemaraan Pearly-Thinaah Ke Suku Akhir

Beregu wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan terlebih dahulu melalui satu pertarungan yang cukup epik dan dramatik sebelum dapat mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Malaysia Masters 2023.

Gandingan Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan terpaksa melalui perlawanan yang memakan masa satu jam dan 29 minit sebelum mencatatkan kemenangan ke atas lawannya dari Jepun, Rena Miyaura dan Ayako Sakuramoto pada Pusingan 16 sebentar tadi, ianya 

Selain itu, satu rali panjang yang berjumlah 211 pukulan pada set ketiga turut menghiasi pertarungan antara pasangan yang menghuni ranking ke-11 dunia dengan beregu wanita No.5 negara matahari terbit itu.

Disebalik pertarungan yang cukup epik itu, Pearly-Thinaah tetap berhasil menutup perlawanan itu dengan skor 21-17, 18-21 dan 21-19. 

Sementara itu, di peringkat suku akhir kelak, Pearly-Thinaah akan membuat perhitungan dengan sepasang lagi beregu Jepun menghuni ranking kesembilan dunia iaitu Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota bagi merebut tempat ke peringkat separuh akhir.

Berdasarkan rekod, Pearly-Thinaah dan Yuki-Sayaka pernah berentap sebanyak lima kali sebelum ini. Daripada lima pertemuan itu, hanya dua dimenangi oleh Pearly-Thinaah dan selebihnya dimenangi oleh bekas beregu wanita No.1 dunia ini.

komen