Yusri Che Lah Ganti Lim Teong Kim Kemudi Perak FC – Berkuat Kuasa Serta-Merta
May 25, 2023 Meor Mohamad Amirul

Perak FC mengumumkan Datuk Lim Teong Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super mereka berkuat kuasa serta-merta dan Yusri Che Lah akan mengambil alih posisinya selaku Ketua Jurulatih Sementara. 

Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikeluarkan kelab milikan XOX Pro Sport Sdn Bhd itu dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial rasmi kelab.

Teong Kim menjadi jurulatih Liga Super ketiga musim ini yang tidak lagi bersama pasukan masing-masing selepas Choi Moon-sik (Kelantan) dan Tomas Trucha (Kelantan United) walaupun saingan liga masih belum sampai di pertengahannya lagi.

Kenyataan itu jelas mengejutkan pelbagai pihak biarpun ramai telah menjangkakan pengumuman tersebut rentetan prestasi kurang memberangsangkan yang telah dipamerkan skuad berjulukan Sang Seladang itu sejak awal musim ini. 

Untuk rekod, Teong Kim telah dilantik sejak September 2022 dan telah mengendalikan 13 perlawanan yang berkesudahan dengan hanya dua kemenangan, dua keputusan seri dan lapan kekalahan dicatatkan termasuk penyingkiran pusingan kedua Piala FA 2023 menentang Sri Pahang FC.

Yusri pula bukanlah wajah baharu buat kem Perak FC. Pengendali berusia 47 tahun itu telah membimbing Sang Seladang bagi mengharungi Liga Premier 2022 sebelum dilantik selaku ketua jurulatih Perak FC II pada musim ini.

Bersama Perak II, mereka kini menduduki tangga kelima Kumpulan B setelah mengutip lapan mata dan berkongsi mata dengan Selangor II dalam misi berada di dalam kelompok empat pasukan terbaik untuk mara ke pusingan kedua Piala MFL 2023. 

Perak kini hanya berbaki tiga perlawanan bertemu Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC dan PDRM FC sebelum jendela perpindahan kedua dibuka pada Julai 2023 dalam misi untuk mereka mengelakkan diri daripada zon bawahan liga.

Featured Image: Perak Football Club

Komen