Artikel

Malaysia Masters: Pemain No.2 Taiwan Singkir Zii Jia Di Pusingan 16 

Kelibat jaguh badminton perseorangan lelaki tanah air, Lee Zii Jia dalam saingan Malaysia Masters 2023 tidak akan kelihatan di peringkat suku akhir.

Ini selepas pemain berusia 25 tahun tersebut tumpas kepada pemain No.2 Taiwan merangkap juara Princess Sirivannavari Thailand Masters 2023, Lin Chun-yi dalam aksi Pusingan 16 yang berlangsung di Axiata Arena, pada hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Zii Jia yang menghuni ranking kesepuluh dunia tumpas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 19-21, 21-16 dan 15-21 yang menjangkau 87 minit permainan.

Keputusan itu sekaligus menyingkirkan Zii Jia daripada kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 ini.

Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan sulung dirakamkan Chun-yi ke atas Zii Jia setelah tumpas dalam pertemuan sulung antara mereka berdua di kejohanan Indonesia Masters 2023, hujung Januari lalu.

Sementara itu, Chun-yi yang meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir akan berhadapan samada pemain Denmark, Rasmus Gemke atau pemain Jepun, Kodai Naraoka.

komen