Malaysia Masters: Wei Chong-Kai Wun Uji ‘The Daddies’ Di Suku Akhir
May 25, 2023 Hafizuddin Omar

Gandingan beregu lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun melakar satu pencapaian baharu dalam karier mereka apabila mara peringkat suku akhir kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 buat julung kalinya.

Pasangan yang menghuni ranking ke-26 dunia ini melakar kemaraan tersebut setelah menumpaskan beregu lelaki No.1 Scotland, Alexander Dunn dan Adam Hall di peringkat Pusingan 16 saingan Malaysia Masters, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Wei Chong-Kai Wun berjaya menumpaskan gandingan yang turut menghuni ranking ke-29 dunia itu menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 19-21, 21-16 dan 21-13 dalam tempoh masa hampir satu jam permainan.

Bagaimanapun, cabaran besar menanti Wei Chong-Kai Wun di peringkat suku akhir kelak apabila terpaksa menghadapi gandingan berpengalaman dari Indonesia yang terkenal dengan julukan “The Daddies” iaitu Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan.

Pada petang tadi, Ahsan-Hendra yang kini berada di ranking keenam dunia melakar kemaraan ke peringkat suku akhir setelah menyingkirkan beregu Taiwan, Lee Jhe-huei dan Yang Po-hsuan secara “straight set” dengan skor 21-17 dan 21-14 dalam tempoh masa setengah jam sahaja.

Komen