Piala Remaja Asia: Hatrik Shahmie Bantu Malaysia Lakar Kemenangan Kedua Pool B
May 26, 2023 Meor Mohamad Amirul

Selepas T. Perabu, kini giliran Shahmie Irfan menjaringkan hatrik dalam aksi kedua Piala Remaja Asia menentang Bangladesh yang menyaksikan Malaysia terus mencatatkan kemenangan di Oman. 

Dalam perlawanan tersebut, skuad hoki remaja negara selesa mendahului dengan keputusan tiga gol tanpa bolos pada separuh masa pertama sebelum menamatkan perlawanan kedua Kumpulan B dengan skor 5-1. 

Lebih menarik, ketiga-tiga jaringan Shahmie terhasil menerusi pukulan sudut penalti yang dihadiahkan buat Malaysia. Selain Shahmie, dua lagi penjaring Malaysia dalam perlawanan tersebut ialah Syafiq Ikhmal dan Syamim Naim.

Jaringan tunggal negara Tanah Bengal itu dihasilkan Md Abdullah pada minit ke-37 perlawanan seolah-olah mahu mencipta kebangkitan pada separuh masa kedua. Namun, skuad kendalian Amin Rahim meneruskan rentak cemerlang menuju ke wisel penamat.

Keputusan 5-1 di Kompleks Belia Kebudayaan dan Hiburan Sultan Qaboos itu sekaligus menghadiahkan kemenangan bergaya kedua buat Malaysia yang kini berada di tempat kedua Kumpulan B. 

Malaysia sedang berkongsi enam mata dengan pendahulu kumpulan, Korea Selatan tetapi dipisahkan dengan perbezaan satu jaringan yang memihak kepada negara Asia Timur itu. 

Kedua-dua negara tersebut bakal bertemu satu sama lain dalam perlawanan seterusnya yang bakal menentukan kedudukan akhir di kumpulan tersebut untuk layak ke separuh akhir bertemu dua pasukan teratas Kumpulan A. 

Featured Image: Asian Hockey Federation

Komen