Honda Kembali Ke F1, Umum Kerjasama Dengan Aston Martin Bermula 2026
May 26, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pengeluar automobil terkemuka Jepun, Honda mengumumkan bakal kembali ke saingan Formula Satu (F1) selaku pembekal enjin kepada Aston Martin Aramco Cognizant Formula One Team bermula tahun 2026. 

Kenyataan tersebut telah dikeluarkan menerusi laman sesawang rasmi kedua-dua pihak termasuk badan induk perlumbaan tersebut dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial rasmi mereka. 

Honda kembali ke F1 selepas lima tahun ‘menarik diri’ daripada kejohanan berprestij dunia itu sejak penghujung tahun 2021 atas faktor peralihan sumber tenaga enjin kepada kuasa elektrik dan bebas karbon.

Honda menerusi Honda Racing Corporation (HRC) kemudiannya beralih ke bahagian sokongan teknikal dan membantu Red Bull Racing serta Max Verstappen memenangi kejuaraan pada tahun 2022. 

Ironinya, kerjasama di antara Aston Martin dan Honda ini bakal mempertemukan semula Fernando Alonso yang pernah secara terbuka mengkritik enjin Honda sebagai ‘tidak boleh diharap’ ketika pelumba Sepanyol itu mewakili McLaren. 

Aston Martin kini berada di belakang pendahulu, Red Bull Racing yang telah mengutip 224 mata manakala pelumba mereka, Fernando Alonso kini di tangga ketiga dengan 75 mata, ditinggalkan Max Verstappen (119) dan Sergio Perez (105) yang mewakili Red Bull Racing.

Featured Image: Aston Martin Aramco Cognizant F1 Team

Komen