Penyerang prolifik, Mohamed Salah gagal sembunyikan kekecewaannya apabila pasukannya, Liverpool disahkan tidak akan beraksi di Liga Juara-Juara UEFA selepas kemenangan Manchester United ke atas Chelsea, awal pagi tadi.
Menerusi kemaskini media sosialnya, pemain berusia 31 tahun itu juga berkata tiada alasan munasabah di sebalik kegagalan tersebut dan mengakui dirinya bersama para pemain yang lain telah membuat penyokong The Reds kecewa.
“(Hati) saya benar-benar hancur. Sememangnya tiada alasan untuk kegagalan ini. Kami miliki segalanya yang kami perlukan untuk layak ke Liga Juara-Juara dan kami gagal.”
“Kita Liverpool dan layak dalam pertandingan itu merupakan perkara paling minimum yang kami perlu lakukan. Saya minta maaf tetapi terlalu awal untuk kata-kata semangat atau optimistik. Kami mengecewakan anda dan diri kami sendiri”, tulis Salah dalam kemaskini media sosial tersebut.
I’m totally devastated. There’s absolutely no excuse for this. We had everything we needed to make it to next year’s Champions League and we failed. We are Liverpool and qualifying to the competition is the bare minimum. I am sorry but it’s too soon for an uplifting or optimistic… pic.twitter.com/qZmA9WsueM
— Mohamed Salah (@MoSalah) May 25, 2023
Untuk pengetahuan umum, Manchester United hanya memerlukan satu sahaja mata untuk menjarakkan diri dengan Liverpool bagi merebut kedudukan keempat liga sekaligus layak ke Liga Juara-Juara UEFA musim hadapan.
Kemenangan 4-1 menentang skuad berjulukan The Blues pagi tadi sekaligus menutup rapat peluang Liverpool yang kini berbeza empat mata dengan Manchester United berbaki perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris musim ini.
Untuk rekod, Mohamed Salah telah menjaringkan 30 gol musim ini bersama Liverpool termasuk 19 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Selepas enam musim, penyerang Mesir itu telah menjaringkan 186 gol setakat ini buat The Reds.