Selepas Liverpool, kini giliran Arsenal memperkenalkan jersi terbaharu mereka bagi musim 2023/24 menampilkan Bukayo Saka dalam video perkenalan jersi tersebut dengan cogan kata, ‘Forever Arsenal’ dan mengambil inspirasi daripada ulang tahun ke-20 ‘The Invincibles’.
Pelancaran jersi terbaharu mereka itu telah dibuat menerusi laman sesawang mereka dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial rasmi kelab, sebentar tadi.
Di dalam video tersebut, Saka dilihat berdiri bersama lebih 300 penyokong dan staf Arsenal di Stadium Emirates untuk memperkenalkan jersi baharu mereka di dalam video berdurasi 15 saat itu.
Skuad berjulukan The Gunners itu bakal memperagakan jersi baharu mereka pada aksi terakhir Liga Perdana Inggeris 2022/23 ketika menentang Wolverhampton Wanderers di laman sendiri pada Ahad ini (waktu Malaysia).
Our new 23/24 Arsenal x @adidasFootball home kit is available now 🙌
— Arsenal (@Arsenal) May 26, 2023
Jersi utama Arsenal itu terus mengekalkan warna merah dan putih dengan perincian terbaharu; warna emas pada logo pasukan, logo dan jalur Adidas di bahagian lengan yang diinspirasikan daripada ulang tahun ke-20 kejayaan ‘The Invincibles’.
Lebih menarik, terdapat juga perincian halus seperti keputusan 38 perlawanan Arsenal pada musim 2003/04 dijahit sepanjang kawasan putih yang terletak di bahagian sisi jersi terbaharu mereka bagi versi ‘authentic’ (tulen).
Mengenang 20 tahun kejayaan ‘The Invincibles’, pasukan kendalian Arsene Wenger itu berjaya mencipta sejarah baharu Liga Perdana Inggeris dengan 26 kemenangan dan 12 keputusan seri sepanjang musim tanpa kekalahan dan menamatkan dominasi Manchester United.
Jersi terbaharu Arsenal itu boleh didapati di laman sesawang Arsenal Direct, kedai rasmi kelab dan juga butik Adidas terpilih dengan harga serendah RM475.00 sehelai.
Featured Image: Arsenal FC