Malaysia Masters: Separuh Akhir Milik Pearly-Thinaah Selepas Beraksi 1 Jam 51 Minit
May 26, 2023 Hafizuddin Omar

Pasangan badminton wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berhasil menempah tiket ke peringkat separuh akhir Malaysia Masters 2023 selepas bertarung selama 1 jam 51 minit di Gelanggang 1, Axiata Arena.

Pertarungan panjang itu berlangsung ketika berhadapan dengan bekas beregu No.1 dunia dari Jepun, Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota pada peringkat suku akhir, petang tadi.

Pearly-Thinaah yang kini menghuni ranking kesebelas dunia melakar kemenangan tersebut menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 13-21, 21-19 dan 21-16.

Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan ketiga dilakar Pearly-Thinaah bertemu Yuki-Sayaka merangkap juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 daripada enam pertemuan secara keseluruhan di pentas antarabangsa.

Sementara itu, di peringkat separuh akhir kelak, Peary-Thinaah akan berhadapan samada beregu Korea, Jeong Na-eun dan Kim Hye-jeong atau beregu Indonesia, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Sebagai tambahan, kemaraan Pearly-Thinaah ke peringkat separuh akhir pada hari ini secara langsung menyamai pencapaian mereka pada edisi lalu.

Komen