Malaysia Masters: Wei Chong-Kai Wun Cipta 2 Sejarah – Baham ‘The Daddies’ & Mara Semi-Final Super 500
May 26, 2023 Hafizuddin Omar

Gandingan beregu muda lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun berhasil mencipta dua sejarah baharu dalam karier badminton mereka, pada hari ini. 

Pertamanya, pasangan yang menghuni ranking ke-26 dunia ini melakar kemaraan sulung ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500.

Kemaraan itu tercipta selepas mereka berhasil mencetak kemenangan ketika turun beraksi pada peringkat suku akhir saingan Malaysia Masters 2023 di Axiata Arena, sebentar tadi.

Keduanya, Wei Chong-Kai Wun mencipta satu kejutan menumpaskan lawannya, gandingan ‘otai’ yang terkenal dengan gelaran ‘The Daddies’ iaitu Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan dalam pertarungan tersebut.

Lebih manis, kemenangan ke atas Ahsan-Hendra itu berakhir dengan skor “straight set” iaitu 23-21 dan 21-17 dalam tempoh masa sekitar 40 minit permainan.

Sebagai rekod, ini merupakan pertembungan kedua melibatkan Wei Chong-Kai Wun menentang Ahsan-Hendra di peringkat antarabangsa.

Pertembungan pertama melibatkan kedua-dua gandingan ini berlangsung di kejohanan Terbuka Singapura tahun lalu dimana ia berpihak kepada Ahsan-Hendra dengan skor 21-14 dan 21-15 dalam tempoh 25 minit permainan.

Sementara itu, di peringkat separuh akhir kelak, Wei Chong-Kai Wun akan bertemu samada beregu senegara merangkap juara Kejohanan Dunia BWF 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik atau beregu Indonesia, Leo Carnando dan Daniel Marthin untuk merebut tiket ke pentas akhir.

Komen