Artikel

Malaysia Masters: Beregu Lelaki No.1 Dan No.2 Negara Kandas Suku Akhir

Pentas separuh akhir Malaysia Masters 2023 tidak akan diserikan dengan kelibat beregu lelaki No.1 dan No.2 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi.

Ini selepas kedua-duanya tumpas kepada lawan masing-masing pada peringkat suku akhir saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 ini.

Dalam aksi tersebut, gandingan Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking kedua dunia tumpas kepada pasangan yang berada di ranking kesembilan dunia dari Indonesia, Leo Rolly Carnando dan Daniel Marthin secara “straight set” dengan skor 21-18 dan 21-19 dalam tempoh hampir satu jam permainan.

Kekalahan ini menjadikan Aaron-Wooi Yik tidak dapat menyamai pencapaian mereka mara ke peringkat separuh akhir Malaysia Masters pada edisi tahun lalu.

Sementara itu, gandingan Yew Sin-Ee Yi pula terpaksa akur tumpas kepada beregu Korea yang berada di ranking ke-16 dunia, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae.

Mereka tumpas setelah melalui tiga set permainan yang berakhir dengan skor 21-15, 16-21 dan 14-21 dalam tempoh 81 minit permainan.

Bagaimanapun, kekalahan mereka itu ekoran Ee Yi yang mengalami kecederaan ketika dalam permainan dan tidak dapat memberikan aksi terbaiknya sehingga tamat permainan.

Perkembangan ini menyaksikan, hanya satu sahaja wakil negara dalam kategori beregu lelaki berjaya melakar kemaraan ke peringkat separuh akhir iaitu Man Wei Chong dan Tee Kai Wun.

Wei Chong-Kai Wun akan berentap menentang gandingan Leo-Daniel bagi merebut tiket ke pentas akhir yang akan berlangsung pada Ahad nanti.

komen