Artikel

Malaysia Masters: Pearly-Thinaah Bergelar Naib Juara Selepas Harung 7 Jam 14 Minit Permainan

Beregu badminton wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara di Malaysia Masters 2023 selepas mengharungi 7 jam dan 14 minit permainan secara keseluruhan bermula Pusingan 32 sehingga perlawanan akhir.

Pearly-Thinaah yang menghuni ranking ke-11 dunia terlepas peluang untuk merangkul kejuaran Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 ini setelah tumpas kepada beregu Korea, Baek Ha-na dan Lee So-hee dalam perlawanan akhir di Axiata Arena, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Pearly-Thinaah tumpas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 20-22, 21-8 dan 17-21 dalam tempoh 1 jam dan 41 minit permainan.

Sebelum itu, pasangan ini telah melalui perlawanan panjang di peringkat separuh akhir yang bertempoh 1 jam dan 33 minit permainan ketika bertemu sepasang lagi gandingan dari Korea, Jeong Na-eun dan Kim Hye-jeong.

Pada peringkat suku akhir pula, Pearly-Thinaah mengharungi perlawanan yang paling panjang dalam kariernya dengan beraksi selama 1 jam dan 51 minit sebelum menumpaskan pasangan Jepun, Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota. 

Di Pusingan 16, Pearly-Thinaah melakar skrip tempoh permainan yang sama apabila beraksi selama 1 jam dan 29 minit sebelum dapat menyingkirkan sepasang lagi beregu dari negara matahari terbit, Rena Miyaura dan Ayako Sakuramoto.

Hanya aksi di Pusingan 32 bertemu Gabriela Stoeva dan Stefani Stoeva sahaja yang berlangsung di bawah catatan masa satu jam iaitu dalam tempoh 40 minit permainan sahaja.

Sementara itu, gelaran naib juara ini membolehkan Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$15,960 atau bersamaan sekitar RM70,000 serta pungutan 7,800 mata bagi pengiraan ranking dunia dan lain-lain.

Sebagai rekod, ini juga merupakan podium pertama dinaiki oleh Pearly-Thinaah dalam kejohanan individu yang disertai mereka pada tahun ini. 

komen