Beregu badminton lelaki muda negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun menamatkan saingan Malaysia Masters 2023 dengan gelaran naib juara setelah tumpas kepada pasangan Korea dalam perlawanan akhir di Axiata Arena, sebentar tadi.
Wei Chong-Kai Wun yang julung kalinya mara ke perlawanan akhir saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 tumpas kepada Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae menerusi tiga set permainan berskor 21-15, 24-22 dan 19-21 dalam tempoh masa 80 minit permainan.
Untuk makluman, ini pertemuan sulung Wei Chong-Kai Wun menentang Min-hyuk dan Seung-jae di pentas antarabangsa.
PERODUA Malaysia Masters 2023 presented by DAIHATSU
MD – Final
🇰🇷KANG Min Hyuk🏅
21 22 21 🇰🇷SEO Seung Jae🏅
🇲🇾MAN Wei Chong
15 24 19 🇲🇾Kai Wun TEE🕚 in 80 minutes
— BWFScore (@BWFScore) May 28, 2023
Walaupun tumpas, Wei Chong-Kai Wun akan meraih 7,800 mata untuk dimasukkan dalam pengiraan ranking dunia. Selain itu, selaku naib juara, mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah AS$15,960 atau bersamaan sekitar RM73,000.
Manakala bagi gandingan Korea yang menghuni ranking ke-16 dunia tersebut, kemenangan ini menjadikan mereka berhasil merangkul kejuaraan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 buat kali kedua selepas memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Korea pada tahun lalu.
Untuk makluman, Wei Chong-Kai Wun akan berehat selama seminggu sebelum menyertai kejohanan Jelajah Dunia BWF seterusnya iaitu Terbuka Singapura yang bertaraf Super 750.
Beregu pertama yang akan dihadapi mereka di kejohanan terbabit ialah Mark Lamsfuss dan Marvin Seidel dari Jerman.