Leeds United, Leicester City Ikut Jejak Southampton Tinggalkan EPL
May 29, 2023 Meor Mohamad Amirul

Leicester City dan Leeds United melengkapkan senarai tiga pasukan bersama Southampton yang tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila terus kekal di tangga ke-18 dan ke-19 liga pada hari terakhir kejohanan. 

Perlawanan terakhir EPL menyaksikan debaran buat penyokong Everton, Leeds United dan Leicester City memandangkan nasib pasukan mereka bakal ditentukan sama ada kekal di liga tertinggi England itu atau sebaliknya. 

Leeds United kendalian Sam Allardyce gagal meraih kemenangan di laman sendiri selepas tunduk kepada Tottenham Hotspurs dengan keputusan 4-1. Leicester City pula menang 2-1 ke atas West Ham United tetapi kemenangan Everton menafikan hak skuad berjulukan The Foxes untuk kekal di EPL. 

Terdahulu, Southampton terlebih dahulu mengesahkan status mereka di Liga Kejuaraan selepas tewas kepada Fulham dengan keputusan 2 gol tanpa balas pada minggu perlawanan ke-36 dengan hanya 25 mata berjaya dikutip selepas hari terakhir liga.

Dalam pada itu, tiga kelab Liga Kejuaraan yang sah beraksi dalam saingan EPL 2023-24 ialah Burnley, Sheffield United dan Luton Town. Lebih menarik, ini merupakan musim pertama Luton Town di EPL sejak diperkenalkan pada  musim 1992-93.  

Burnley dan Sheffield layak secara merit setelah menduduki tangga pertama dan kedua liga manakala Luton Town pula memenangi perlawanan akhir play-off menentang Coventry City menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 selepas terikat 120 minit dengan keputusan 1-1. 

Komen