Beregu lelaki negara yang menghuni ranking ke-123 dunia, Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong berhasil merangkul kejuaraan di Terbuka Austria 2023 – sebuah kejohanan bertaraf Siri Antarabangsa (International Series) yang berada pada Gred 3 BWF.
Kejuaraan itu menjadi milik Hang Yee-Eng Cheong selepas berjaya menumpaskan beregu senegara, Lwi Sheng Hao dan Jimmy Wong yang berada di kedudukan ke-130 dunia dalam perlawanan akhir yang berlangsung sekitar lewat malam tadi waktu Malaysia.
Dalam perlawanan tersebut, gandingan Hang Yee-Eng Cheong menumpaskan lawannya secara “straight set” dengan skor 21-11 dan 21-17 dalam tempoh masa 22 minit permainan.
Kemenangan itu sekaligus menjadikan Hang Yee-Eng Cheong merangkul kejuaraan kedua pada tahun ini selepas menjuarai Terbuka Slovenia, pada Ahad minggu lalu
Untuk makluman, ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakar Hang Yee-Eng Cheong ke atas Sheng Hao-Jimmy di pentas antarabangsa.
Menariknya, pertemuan pertama antara kedua-dua beregu ini berlangsung di perlawanan akhir Terbuka Slovenia yang menyaksikan Hang Yee-Eng Cheong merangkul kejuaraan sulung pada tahun ini.
Dalam kejohanan yang sama, beregu campuran iaitu Lim Tze Jia dan Desiree Siow terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara apabila tumpas kepada beregu England, Ethan Van Leeuwen dan Annie Lado.
Featured Image: Austrian Open