Josef Cipta Rekod ‘Plank’ Paling Lama Di Dunia – 9 Jam 38 Minit 47 Saat
May 29, 2023 Hafizuddin Omar

Josef Salek yang merupakan seorang pensyarah, ahli terapi dan jurulatih perkembangan diri dari Republik Czech berjaya mencipta rekod baharu melakukan abdominal plank” bagi kategori lelaki paling lama di dunia.

Rekod baharu itu diakui oleh Guinness World Records setelah Josef atau turut dikenali sebagai Joska melakukan cabaran tersebut di Festival AVATAR bertempat di Park Hotel, Pilsen, Republik Czech pada 20 Mei lalu.

Dalam percubaannya itu, Josef berhasil melakukan ‘plank’ tersebut selama 9 jam 38 minit dan 47 saat – lebih lama daripada tempoh kebiasaan jam bekerja iaitu lapan jam sehari. 

Catatan masa itu sekaligus memecahkan rekod yang dicipta oleh lelaki dari Australia pada tahun 2021, Daniel Scali yang melakukan ‘plank’ selama 9 jam 30 minit dan 1 saat.

Sebagai rekod, sebelum Scali, rekod itu dipegang oleh bekas tentera marin Amerika Syarikat iaitu George Hood – berdurasi selama 8 jam 15 minit dan 15 saat – diciptanya pada tahun 2020.

Featured Image: Guinness World Record

Komen