Shereen Terus Raih Emas 400 Meter Di Amerika Syarikat
May 29, 2023 Meor Mohamad Amirul

Atlet olahraga negara, Shereen Samson Vallabouy terus melakar kecemerlangan apabila mengekalkan kejuaraan acara 400 meter bagi kedua-dua musim sejuk dan bunga untuk dua tahun berturut-turut di negara Uncle Sam.

Terbaru, pelari berusia 24 tahun itu berjaya meraih emas dalam acara 400 meter (m) di Kejohanan Trek & Padang Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA), Colorado sekaligus turut membantu universitinya memenangi tempat keempat secara keseluruhannya.

Shereen mewakili Winona State University (WSU) menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan mencatatkan masa 52.74 saat (s) dan menghadiahkan pingat emas buat universiti Minnesota tersebut. 

Kemenangan tersebut diikuti pelari Azusa Pacific University, Alayna Verner di tempat kedua dengan catatan masa 52.78s dan gangsa milik Corrssia Perry dari West Texas A&M University yang merekodkan catatan masa 53.39s. 

Sebelum ini, nama Shereen Samson Vallabouy mula meniti di bibir peminat sukan tempatan selepas meraih emas buat kontinjen Malaysia bagi acara 400m di Sukan SEA 2023 sekaligus mengulangi pencapaian ibunya, Josephine Mary. 

Shereen juga merupakan pemegang rekod kebangsaan bagi acara 400m dengan catatan masa 51.80s di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California yang menamatkan rekod yang dipegang pelari legenda negara, Allahyarhamah Rabia Abdul Salam di Manila iaitu 52.56s.

Featured Image: @sheeren_vallabouy (Instagram)

Komen