Bryan Hampir Atasi Juara Dunia, Perbaharui Rekod 100m Kuak Kupu-Kupu – 53.02s
May 29, 2023 Meor Mohamad Amirul

Perenang sensasi negara, Bryan Leong hampir mengatasi juara dunia, Chad Le Clos tetapi terpaksa akur muncul selaku naib juara bagi acara  100 meter (m) kuak kupu-kupu di Perlumbaan Antarabangsa AP London 2023, kelmarin.

Menurut laman sesawang kejohanan, Bryan menamatkan perlumbaannya di tempat kedua dengan catatan masa 53.02 saat (s), ditinggalkan jaguh perenang Afrika Selatan itu yang unggul sebagai pemenang dengan catatan masa 52.05s. 

Biarpun begitu, atlet yang kini berusia 20 tahun itu berjaya meleburkan rekod kebangsaan 53.32s yang dicatatkannya bagi acara yang sama di Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu. 

Satu lagi rekod kebangsaan miliknya yang turut berjaya diperbaharui adalah menerusi acara 50m gaya bebas apabila merekodkan catatan masa 23.07s sekaligus memadam rekodnya di Sukan SEA 2021 iaitu 23.09s.

Walaupun begitu, Bryan hanya berakhir di tangga keenam selepas ketinggalan kepada Dylan Carter dari Trinidad and Tobago (22.24s), Matthew Richards dari United Kingdom (22.35s) dan Carter Swift dari New Zealand (22.81s) yang menduduki kedudukan podium. 

Untuk pengetahuan semua, atlet yang juga graduan dalam bidang neurosains dan psikologi dari King’s College London itu telah mengesahkan slot ke Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai ini menerusi acara 100m kuak kupu-kupu.

Featured Image: Malaysia Swimming Federation

Komen