Mauricio Pochettino Ketua Jurulatih Chelsea – Kontrak 2+1 Tahun
May 29, 2023 Hafizuddin Omar

Kelab yang beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea mengesahkan Mauricio Pochettino yang berasal dari Argentina dilantik sebagai ketua jurulatihnya yang baharu.

Menerusi makluman oleh skuad berjulukan The Blues, pengendali berusia 51 tahun ini telah diberikan kontrak selama dua tahun dengan pilihan untuk melanjutkannya selama setahun lagi.

Chelsea turut memaklumkan bahawa Pochettino yang mempunyai pengalaman mengemudi dua kelab EPL iaitu Tottenham Hotspur dan Southampton akan memulakan tugasnya secara rasmi pada 1 Julai 2023 untuk mengharungi musim 2023-24 kelak.

Pada masa yang sama, difahamkan, Pochettino tidak datang berseorangan ke kelab yang yang berpangkalan di kota London terbabit. Kehadiran Pochettino turut disertai empat individu yang akan mengisi barisan kejurulatihannya iaitu Jesus Perez, Miguel d’Agostino, Toni Jimenez dan Sebastiano Pochettino.

Pemilik Chelsea yang terdiri daripada Todd Boehly, Behdad Eghbali, Jose E. Feliciano, Mark Walter dan Hansjorg Wyss berasa gembira dengan penyertaan Pochettino bersama kelabnya. Mereka menganggap Pochettino sebagai jurulatih berkelas dunia dengan rekod pencapaian yang luar biasa.

Untuk makluman semua, selain mengemudi Spurs dan Southampton, Pochettino turut mempunyai pengalaman dalam saingan bola sepak Sepanyol dan Perancis ketika bersama Espanyol dan Paris Saint-Germain (PSG) masing-masing.

Featured Image: Chelsea FC

Komen