Artikel

Piala Remaja Asia: Malaysia Juara Pool B, Bertemu Pakistan Di Separuh Akhir

Skuad hoki remaja lelaki Malaysia menamatkan aksi di Kumpulan B dengan menewaskan tuan rumah, Oman sekaligus muncul juara kumpulan serta layak ke peringkat separuh akhir. 

Skuad kendalian Amin Abdul Rahim itu turut mencatatkan rekod bersih tanpa tewas dalam peringkat kumpulan selepas melengkapkan kemenangan keempat ketika menentang Oman hasil jaringan tunggal Shahmie Irfan. 

Jaringan Shahmie itu juga meletakkan pemain berjersi No.12 tersebut sebagai penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan enam gol bersama tiga lagi pemain iaitu Araijeet Singh (India), Kumpei Yasuda (Jepun) dan Abdul Rehman (Pakistan).

Sehingga awal pagi tadi (waktu Malaysia), Malaysia telah menjaringkan 17 gol dan bolos tiga gol; sekali setiap perlawanan. Perlawanan menentang Oman merupakan “clean-sheet” pertama skuad negara pada kejohanan kali ini.  

Malaysia yang mengutip 12 mata akan diiringi Korea Selatan yang muncul naib juara kumpulan di peringkat separuh akhir bagi bertemu dua wakil juara dan naib juara Kumpulan A. 

Oleh itu, Malaysia akan bertemu juara tiga kali, Pakistan di peringkat separuh akhir dan sekiranya menang, Malaysia akan bertemu sama ada juara bertahan, India atau sekali lagi bertemu Korea Selatan.

Untuk rekod, skuad hoki remaja negara secara tidak langsung telah memperbaiki pencapaian yang diraih edisi 2015 setelah sekadar menduduki tempat kelima pada kejohanan yang lalu. 

Featured Image: Asian Hockey Federation

komen