Garmin Malaysia mengumumkan acara lariannya, Garmin Run Asia Series 2023 bakal dianjurkan di Malaysia bertempat di Dataran Putrajaya pada 22 Oktober kelak. Untuk makluman, ini merupakan penganjuran tahun keduanya selepas menjayakannya pada September tahun lalu.
Penganjuran pada kali ini membawakan tema “Zero to Hero” yang bertujuan untuk membawakan peserta pengalaman larian terbaik dalam hidup masing-masing dengan mencabar had masing-masing serta mendorong untuk memecahkan rekod peribadi.
Namun begitu penganjuran pada tahun ini hanya dibuka kepada tiga kategori sahaja iaitu 5 kilometer (km), 10km dan 21km atau separa maraton. Kategori 42km atau maraton tidak dipertandingkan pada kali ini.
Bagi kategori 5km, ianya dibuka untuk peserta berumur 5 tahun dan ke atas manakala kategori 10km pula dibuka kepada peserta berusia 13 tahun dan ke atas sahaja. Sementara itu, kategori separa maraton pula hanya dibuka kepada peserta berusia 18 tahun dan ke atas.
Sebagai tambahan, peserta berusia 5 hingga 17 tahun perlu ditemani oleh seorang dewasa yang berusia 18 tahun dan ke atas dalam kategori yang sama bagi bertanggungjawab terhadap keselamatannya.
Pendaftaran Garmin Run Asia Series 2023 Malaysia ini telah dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk menyertainya. Peserta yang mendaftar bermula 13 Mei hingga 11 Jun akan mendapat harga “early bird” – diskaun sebanyak RM10 bagi setiap kategori berbanding harga biasa.
Senarai penuh yuran pendaftaran adalah seperti berikut:
Untuk makluman lanjut, anda boleh lawati https://www.garmin.com.my/event/2023/garmin-run/