Artikel

Tiada Tunggakan Cuma Tahan Gaji Sehingga Capai Kemenangan – Norizam

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menafikan dakwaan terdapat tunggakan dua bulan gaji dan beliau hanya menahan gaji bulan April para pemainnya sehingga kemenangan diperolehi pasukannya itu. 

Kenyataan tersebut telah dibuat menerusi laman Facebook miliknya, ZAMSAHAM yang dilihat sebagai kenyataan balas kepada tuduhan dan kecaman yang dilemparkan kepada usahawan tersebut.

Tambah Norizam, semua pemain telah memperoleh gaji penuh mereka setiap bulan dan beliau turut menafikan berlakunya penolakan gaji pada bulan April, seperti mana yang tular di media sosial beberapa hari ini.

Sebaliknya, pemilik perniagaan francais Zamburger itu menjelaskan pemain Kelantan cuma dibayar lewat daripada tarikh yang sepatutnya dan ada yang dibayar secara berperingkat pada bulan yang sama tetapi tiada isu tunggakan gaji. 

“Saya nak cari duit susah. Biarlah rasa berbaloi dengan kemenangan. Kalau tak menang, seri pun jadilah. Takdir ya takdir, tapi kenalah usaha lebih”, ujar Norizam di dalam kenyataan yang sama. 

Dalam pada itu, usahawan berusia 39 tahun itu menggesa para pemain untuk berikan yang terbaik dan memperoleh kemenangan pada minggu ini dan sekiranya tewas, beliau mahu pasukannya tewas bermaruah. 

Norizam turut berjanji akan membayar baki 50 peratus gaji yang ditahan. Walaupun begitu, pemilik Kelantan tersebut tidak menyatakan tempoh masa baki gaji tersebut akan dilunaskan.

Terdahulu, penjaga gol Kelantan, Farhan Abu Bakar tampil ke hadapan dengan perkongsian berkenaan isu gaji yang dialami dirinya dan rakan sepasukannya yang lain menerusi media sosial miliknya.

komen