Terbuka Thailand: Beregu No.8 Indonesia Singkir Pang Ron-Mei Xing Di Peringkat Kelayakan
May 30, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron dan Teoh Mei Xing bukan sahaja gagal layak ke babak undian utama (main draw) bahkan sekadar beraksi satu perlawanan sahaja di peringkat kelayakan dalam saingan Terbuka Thailand 2023.

Ini gara-gara Pang Ron-Mei Xing terpaksa akur tumpas kepada beregu No.8 Indonesia, Adnan Maulana dan Nita Violina Marwah dalam pertarungan di Pusingan 16 peringkat kelayakan bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 terbabit.

Dalam pertarungan tersebut, gandingan negara yang menghuni ranking ke-51 dunia itu tumpas secara “straight set” dengan skor 14-21 dan 16-21 dalam tempoh masa sekitar setengah jam bertempat di Stadium Tertutup Huamark, sebentar tadi.

Sebagai rekod, terkandas di peringkat kelayakan dalam saingan Jelajah Dunia BWF pada hari ini merupakan prestasi terburuk pernah dilakar Pang Ron-Mei Xing sejak bergandingan semula pada Disember tahun lalu.

Manakala pencapaian terbaik mereka pula adalah muncul naib juara dalam Cabaran Antarabangsa Iran Fajr yang berlangsung antara penghujung Januari hingga awal Februari lalu.

Sementara itu, Pang Ron-Mei Xing akan berehat seketika sehingga hujung minggu ini sebelum menyertai Cabaran Antarabangsa Maldives – kejohanan Gred 3 BWF – yang akan bermula 5 Jun kelak.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen