Kedudukan pemain badminton perseorangan lelaki No.1 tanah air, Lee Zii Jia dalam Ranking Dunia BWF tidak mengalami sebarang perubahan biarpun tersingkir di peringkat Pusingan 16 saingan Malaysia Masters pada minggu lepas.
Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan pemain berusia 25 tahun terbabit kekal di tangga kesepuluh dunia dengan kutipan 59,876 mata – meningkat sebanyak 600 mata berbanding minggu lalu.
Bukan itu sahaja, peningkatan mata itu juga membolehkan Zii Jia menjarakkan diri sebanyak 1,459 mata dengan penghuni ranking ke-11 dunia dari Jepun, Kenta Nishimoto pada minggu ini.
Bagaimanapun, Zii Jia boleh terkeluar daripada kelompok sepuluh terbaik dunia tersebut sekiranya Li Shi Feng dan Lu Guang Zu yang menghuni tangga ke-12 dan ke-13 dunia masing-masing mara jauh dalam saingan Terbuka Thailand – Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 – pada minggu ini.
Sementara itu, lain pula kisahnya melibatkan perseorangan lelaki No.2 tanah air, Ng Tze Yong apabila dilihat mengalami penurunan dalam kedudukan Ranking Dunia BWF.
Pemain yang baru sahaja menginjak usia 23 tahun ini mencatatkan penurunan tiga anak tangga selepas mengumpul 42,870 mata sekaligus menghuni kedudukan ke-24 dunia pada minggu ini.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023