Naib juara Malaysia Masters 2023, Tee Kai Wun dan Man Wei Chong menepati ramalan kiraan tidak rasmi apabila kedudukan mereka dalam Ranking Dunia BWF meningkat empat anak tangga. Namun begitu, perkhabaran kurang enak pula membelenggu pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila jatuh satu anak tangga.
Kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini memperlihatkan gandingan Kai Wun-Wei Chong kini menghuni ranking ke-22 dunia sekaligus menjadi beregu ketiga negara selepas memintas kedudukan gandingan negara yang telah berpisah, Goh Sze Fei dan Nur Izzudin.
Beregu lelaki No.1 negara pula berada di tangga ketiga dunia selepas dipintas pasangan China, Liang Wei Keng dan Wang Chang sekaligus kembali ke kedudukan ketiga selepas dua minggu bertahan sebagai gandingan No.2 dunia.
Kemaskini minggu ini turut menyaksikan sejarah baharu dilakar gandingan Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi dengan berada di tangga ketujuh dunia – kedudukan terbaik sepanjang bergandingan bersama dalam karier.
Secara keseluruhannya, Kai Wun-Wei Chong menambah kutipan 7,800 mata ketika muncul naib juara Malaysia Masters, baru-baru ini sekaligus mengumpul sejumlah 41,160 mata setakat ini.
Yew Sin-Ee Yi pula telah mengutip sejumlah 71,150 mata dan memintas ‘The Daddies’, Mohammed Ahsan dan Hendra Setiawan manakala Aaron-Wooi Yik mengumpul 77,094 mata untuk berada di kedudukan semasa mereka.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia (BAM)