Terbuka Thailand: Juara Slovenia Kekang Seng Zoe Lepasi Pusingan Kelayakan
May 30, 2023 Hafizuddin Omar

Yeoh Seng Zoe menjadi pemain perseorangan lelaki negara yang kedua tidak melepasi peringkat kelayakan saingan Terbuka Thailand 2023 selepas Lee Shun Yang.

Kemaraan pemain berusia 25 tahun yang menghuni ranking ke-100 dunia itu dikekang oleh perseorangan lelaki India merangkap juara Terbuka Slovenia 2023, Sameer Verma pada pusingan suku akhir peringkat kelayakan, petang tadi.

Dalam pertarungan julung kalinya melibatkan kedua-dua pemain ini, Seng Zoe tumpas secara “straight set” di tangan Sameer dengan skor 12-21 dan 17-21 dalam tempoh masa 35 minit permainan yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark.

Sementara itu, dengan kemenangan tersebut, Sameer berhasil mara ke babak undian utama (main draw). Menantinya di Pusingan 32 babak utama kelak adalah pemain Denmark yang menghuni ranking ke-35 dunia, Magnus Johannesen.

Sebagai tambahan, Terbuka Thailand merupakan kejohanan Jelajah Dunia BWF yang ketiga disertai oleh Seng Zoe pada tahun ini selepas Indonesia Masters dan Thailand Masters pada Januari dan Februari lalu.

Ini juga merupakan kejohanan ketiga berturut-turut Seng Zoe gagal melepasi pusingan kelayakan untuk mara ke babak undian utama.

Komen