Skuad bola sepak kebangsaan tidak akan berhadapan Yaman dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada 20 Jun kelak. Sebaliknya, pasukan dari benua oceania iaitu Papua New Guinea menjadi ganti kepada Yaman pada tarikh tersebut.
Pengesahan itu hadir menerusi makluman oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan badan induk terbabit pada hari ini.
Difahamkan, pasukan yang menghuni ranking ke-159 dunia itu menjadi ganti ekoran Yaman menyatakan hasrat untuk membatalkan perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA). Sebab utamanya adalah ketiadaan pemain tonggak yang menyertai skuad bawah 23 tahun (B-23) untuk mengharungi saingan West Asian Championship di Iraq.
Siaran Media: Perlawanan Menentang Yemen Batal; Harimau Malaya Tukar Lawan Papua New Guinea
▶️ Baca selanjutnya di https://t.co/kz4OWwH8Jp#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/lMaPtIhTQK
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 31, 2023
Makluman pembatalan saat akhir itu dinyatakan oleh Persatuan Bola Sepak Yaman (YFA) menerusi satu surat rasmi yang sampai kepada FAM pada jam 5 petang semalam (Selasa, 30 Mei).
“Selepas menghubungi beberapa pasukan, FAM akhirnya telah berjaya mendapat persetujuan daripada Papua New Guinea sebagai pasukan pengganti untuk bertemu skuad Harimau Malaya,” jelas Noor Azman dalam kenyataannya.
Sementara itu, satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Solomon Islands yang berada di ranking ke-134 dunia pada 14 Jun (Rabu) di stadium yang sama kekal tidak mengalami sebarang perubahan.
Featured Image: Football Association of Malaysia