Artikel

Jersi Man City 2023-24 Raikan 20 Tahun Stadium Etihad Kini Di Malaysia – Harga RM549

Peminat dan penyokong setia juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City FC (Man City) di Malaysia kini boleh dapatkan jersi home terbaharu kelab kesayangan mereka bermula saat ini. 

Jersi baharu skuad berjulukan The Citizens keluaran Puma yang dilancarkan secara rasmi sekitar dua minggu lalu di United Kingdom (UK) itu sudah boleh didapati di cawangan-cawangan butik PUMA seluruh negara serta secara atas talian melalui platform e-dagang rasmi, my.puma.com

Ianya hadir dalam dua variasi iaitu replika dan autentik ditawarkan untuk pembelian oleh para peminat dan penyokong tempatan dengan diletakkan tanda harga RM319 dan RM549 masing-masing.

Jersi tersebut dilancarkan bersama video perkenalan yang berdurasi seminit dan menampilkan pemain skuad utama dan wanita Man City serta pengendali mereka, Pep Guardiola.

Jersi baharu Manchester City itu diinspirasikan daripada jersi yang pertama kali dipakai apabila mereka berhijrah ke Stadium Bandaraya Manchester yang kini dikenali sebagai Stadium Etihad dari Maine Road pada 2003.

Rekaan grafik di bahagian hadapan jersi menampilkan seni bina unik Stadium Etihad itu sendiri – empat belang mewakili laluan masuk silinder yang tersergam indah di pintu masuk bahagian barat stadium.

Manakala, poskod stadium iaitu M11 33F dicopkan bersama tanda dagang PUMA di bahagian belakang leher.

PUMA masih mengekalkan warna tradisi The Citizens iaitu biru cair sebagai warna dominan jersi tersebut dan disempurnakan dengan warna putih di bahagian hadapan kolar yang berbentuk V – sama seperti jersi home musim 2003-04. 

Untuk makluman, Maine Road merupakan laman keramat mereka sejak 1923 sebelum dirobohkan pada tahun 2004 setelah mereka berhijrah ke Stadium Etihad.

komen