Terbuka Thailand: Tze Yong Hadap Tien Chen Di Pusingan 16
May 31, 2023 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.2 negara, Ng Tze Yong berhasil bermula dengan langkah kanan dalam saingan Terbuka Thailand 2023 apabila melakar kemenangan ke atas pemain India, Priyanshu Rajawat pada Pusingan 32, sebentar tadi.

Namun begitu, kemenangan itu membawanya bertemu bekas perseorangan lelaki No.2 dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen – pemain yang tidak pernah ditumpaskannya – pada Pusingan 16 yang akan berlangsung pada hari esok. 

Tze Yong yang berusia 23 tahun pernah bertemu Tien Chen yang kini berada di ranking ketujuh dunia sebanyak dua kali di kejohanan antarabangsa sebelum ini. Pertemuan itu berlangsung dalam saingan Terbuka Swiss 2023 dan Malaysia Masters 2022 yang menyaksikan Tze Yong tumpas secara “straight set” masing-masing.

Terdahulu, Tze Yong mengesahkan kemaraan ke Pusingan 16 selepas menumpaskan Priyanshu yang berada di tangga ke-39 dunia secara “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-10 dalam tempoh 33 minit permainan.

Manakala Tien Chen pula melakar kemaraan selepas menumpaskan rakan senegara, Lin Chun-yi yang berada di ranking ke-22 dunia merangkap semi-finalis Malaysia Masters 2023 dengan skor 18-21, 21-17 dan 21-12 dalam tempoh masa lebih satu jam pertarungan.

Akan tetapi, Tze Yong bukanlah tidak pernah mencipta kejutan apabila menentang pemain yang lebih tinggi ranking daripadanya. Pada Mac lalu, Tze Yong telah mencipta kejutan tersebut ketika bertemu pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen pada Pusingan 16 di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) sekaligus mara ke peringkat suku akhir.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen