UiTM FC Dijenamakan Semula UiTM United, Beraksi Di Piala Al-Ikhsan 2023
May 31, 2023 Meor Mohamad Amirul

Kelab Bola Sepak UiTM (UiTM FC) mengumumkan menjenamakan semula pasukan bola sepak mereka kepada UiTM United bermula musim 2023 disamping bakal beraksi dalam saingan Liga M4.

Penjenamaan semula itu merupakan simbolik kepada permulaan baharu kepada pasukan bola sepak mereka yang hampir keseluruhannya diwakili alumni dan mahasiswa universiti awam itu biarpun masih mengekalkan identiti mereka selaku The Lions.

Sebelum ini, UITM FC telah menarik diri daripada beraksi dalam Liga Super 2023 sekaligus menimbulkan tanda tanya terhadap hala tuju pasukan universiti pertama Malaysia yang pernah beraksi di dalam kancah tertinggi bola sepak tempatan. 

Tatkala ramai yang menduga pasukan itu bakal beraksi dalam Liga M3 atau kini dikenali sebagai Liga Kejuaraan MBSB Bank, UITM United FC diumumkan penganjur menyertai saingan Liga M4 atau nama komersialnya Piala Al-Ikhsan 2023. 

Dalam saingan tersebut, The Lions akan beraksi dalam Zon Pantai Timur bersama empat lagi kelab iaitu Kuantan City FC (Pahang), YPM FC (Pahang), WTS FC (Kelantan) dan Real Chukai FC (Terengganu) secara timbal balik. 

Selain Zon Pantai Timur, dua lagi zon dalam saingan Piala Al-Ikhsan 2023 adalah Zon Tengah/Selatan dan Zon Borneo yang terdirid daripada enam dan lima pasukan masing-masing. 

Untuk makluman semua, saingan Piala Al-Ikhsan ini menawarkan dua slot automatik ke saingan Liga M3 musim hadapan untuk direbut oleh kesemua 16 buah pasukan yang bertanding.

Sebagai tambahan, Piala Al-Ikhsan 2023 akan bermula 3 Jun (Sabtu) ini dengan UiTM United FC memulakan kempen menentang Real Chukai FC di laman sendiri. 

Featured Image: UITM United

Komen