Gandingan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Goh Sze Fei yang pernah mencapai ranking kesembilan dunia membuat keputusan untuk bergandingan semula selepas ‘bercerai’ pada Januari lalu.
Perkembangan mengejutkan itu dikongsikan sendiri oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria merangkap Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi foto berserta kapsyen “One team, once again! They are back.” yang dimuat naik di Instagram Story miliknya, pada hari ini.
Difahamkan, tiada persefahaman menjadi punca gandingan pemain yang berusia 25 tahun masing-masing ini membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing sekitar empat bulan lalu.
Sejurus perpisahan tersebut, barisan kejurulatihan BAM menerusi Pengarah Kejurulatihan (Beregu), Rexy Mainaky mengumumkan menggandingkan Izzuddin bersama Muhammad Haikal Nazri sementara Sze Fei pula dipadankan dengan Choong Hon Jian.
Sebagai rekod, gandingan Izzuddin-Sze Fei yang bermula sejak tahun 2016 telah berjaya meraih empat gelaran iaitu Terbuka Jerman 2022, Cabaran Antarabangsa Malaysia 2017, Siri Antarabangsa Swiss 2016 dan Siri Antarabangsa Singapura 2016 selain menyertai kelompok 10 beregu terbaik dunia.
Untuk makluman, setelah hampir empat bulan berpisah, kedudukan Izzuddin-Sze Fei dalam Ranking Dunia BWF kini di tangga ke-32 dunia dan menjadi beregu lelaki No.4 tanah air selepas gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Featured Image: Instagram Norza Zakaria
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!