Bagai Sireh Pulang Ke Gagang, Hakim Sertai Terengganu FC Dengan Kontrak Setahun
May 31, 2023 Meor Mohamad Amirul

Bekas penyerang Selangor, Nor Hakim Hassan sah kembali ke bumi kelahirannya apabila diumumkan menyertai Terengganu FC pada jendela perpindahan kedua yang dibuka Julai ini. 

Perkembangan dan pengesahan tersebut hadir menerusi satu makluman menerusi perkongsian media sosial dan laman sesawang rasmi kelab, pada hari ini.

Pada masa yang sama, penyerang terbabit bakal menyerikan skuad berjulukan Sang Penyu dengan jersi bernombor 69 setelah mengikat kontrak selama setahun bersama kelab pantai timur semenanjung tanah air itu. 

Sebelum ini, Selangor telah mengesahkan pemain tersebut bakal meninggalkan pasukan sekaligus menimbulkan ura-ura Hakim bakal menabur bakti bersama skuad kendalian Tomislav Steinbruckner.

Hakim bukanlah figura yang asing dalam bola sepak Terengganu kerana anak jati Kuala Terengganu ini pernah beraksi bersama Terengganu T-Team pada tahun 2015 sehingga 2017 bersama Safawi Rasid.

Penyerang berusia 32 tahun itu kemudiannya menyertai Perak di bawah kendalian Mehmet Durakovic yang menyaksikan dirinya menjulang piala pertamanya sebagai pemain professional – Piala Malaysia 2018. 

Nor Hakim menyertai The Red Giants pada 2020 bersama dua rakan sepasukannya di Perak iaitu Brendan Gan dan Shahrel Fikri dan kekal bersama pasukan tersebut sehingga jendela perpindahan kedua musim ini. 

Featured Image: Terengganu FC

Komen