Terbuka Thailand: Jun Hao Atasi Cabaran Thammasin, Lolos Ke Pusingan 16
May 31, 2023 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berhasil meneruskan rentetan kemenangan daripada pusingan kelayakan semalam dengan melakar kejutan ke atas Sitthikom Thammasin dalam aksi Pusingan 32 saingan Terbuka Thailand, pada hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Jun Hao yang berada di ranking ke-65 dunia berhasil menumpaskan pemain tuan rumah yang berusia 28 tahun tersebut menerusi tiga set permainan yang berlanjutan lebih daripada satu jam.

Jun Hao bermula dengan langkah kiri apabila tumpas 16-21 di tangan Thammasin yang menghuni ranking ke-30 dunia itu. Bagaimanapun, dia berhasil bangkit pada set seterusnya dengan melakar kemenangan 21-16 sebelum menyudahkan permainan di set ketiga dengan skor 21-12.

Sebagai rekod, Jun Hao melakar kemenangan penuh kejutan itu dalam pertemuan sulungnya di pentas antarabangsa dengan Thammasin yang pernah menjuarai saingan Terbuka Macau 2019 yang bertaraf Jelajah Dunia Super 300 BWF. 

Dengan kemenangan tersebut, Jun Hao dapat meloloskan dirinya ke Pusingan 16 bagi saingan bertaraf Super 500 ini. Menantinya di peringkat tersebut adalah perseorangan Perancis yang menghuni ranking ke-36 dunia, Christo Popov bagi merebut tiket ke peringkat suku akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen