Terbuka Thailand: Jun Hao Lakar Kejutan, Atasi Bekas Juara Remaja Eropah
June 1, 2023 Meor Mohamad Amirul

Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao melakar kejutan apabila mara ke peringkat suku akhir selepas menewaskan wakil Perancis, Christo Popov pada Pusingan 16 Terbuka Thailand 2023. 

Biarpun Christo berada di kedudukan yang lebih baik berbanding Jun Hao, rekod pertemuan kedua-dua pemain berpihak kepada wakil Malaysia yang memenangi pertemuan sulung mereka pada 2017.

Jun Hao meneruskan rekod kemenangannya ke atas Christo selepas menewaskannya dengan skor 20-22, 21-13 dan 21-19 dalam pertemuan selama 76 minit bertempat di Stadium Tertutup Huamark, Thailand.

Kemenangan itu melayakkan pemain di kedudukan ke-65 dunia itu ke peringkat suku akhir dan diundi bertemu dengan pemenang di antara pertemuan Lakhsya Sen dan Li Shi Feng.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Jun Hao mara ke peringkat suku akhir pada tahun ini selepas kali pertama melakukannya di Orleans Masters pada April lalu.  

Sebelum ini, pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2023 itu tersingkir awal dalam saingan Malaysia Masters selepas tewas kepada wakil Chinese Taipei, Chi Yu Jen di Pusingan 16 peringkat kelayakan kejohanan tersebut.

Featured Image: Badminton Asia

Komen