Terbuka Thailand: Tze Yong Pecah Telur, Atasi Tien Chen Untuk Mara Ke Suku Akhir
June 1, 2023 Meor Mohamad Amirul

Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menamatkan kemarau kemenangan ke atas Chou Tien Chen apabila menewaskan wakil Chinese Taipei itu di  Pusingan 16 Terbuka Thailand 2023. 

Untuk rekod, kedua-dua pertemuan mereka berakhir dengan kemenangan milik Tien Chen yang turut berada di tangga ketujuh dunia dan Tze Yong akhirnya berjaya memperoleh kemenangan pada kali ini. 

Lebih manis, Tze Yong menewaskan Tien Chen secara “straight set” dengan skor 23-21 dan 23-21 dalam pertemuan selama 59 minit bertempat di Stadium Tertutup Huamark, Thailand.

Kemenangan tersebut sekaligus menjadikan Tze Yong wakil negara kedua yang mara ke peringkat suku akhir selepas Leong Jun Hao dan bakal bertemu pemenang di antara pertemuan Lee Cheuk Yiu dan Magnus Johannesen. 

Terdahulu, perseorangan lelaki No.2 negara itu tersingkir awal dalam saingan Malaysia Masters selepas tewas kepada wakil Jepun, Kenta Nishimoto di pusingan pertama undian utama (main draw) kejohanan tersebut.

Sungguhpun begitu, Tze Yong menampilkan aksi yang konsisten apabila berjaya mara ke suku akhir dalam tiga kejohanan terakhirnya; Thailand Masters, Terbuka Seluruh England dan Terbuka Swiss sebelum pulang ke Malaysia.

Featured Image: PERODUA Malaysia Masters 2023

Komen