Laman keramat Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim (SSI) telah dipilih sebagai lokasi rasmi perlawanan akhir Piala FA 2023 yang bakal dilangsungkan pada Julai nanti.
Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan oleh badan penganjur liga, Malaysia Football League (MFL) dan dikongsikan melalui laman sesawang serta pelbagai media sosial rasmi mereka.
Keputusan tersebut diambil selepas mempertimbangkan keadaan semasa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang masih dalam proses penambahbaikan sehingga Oktober ini.
MFL mengesahkan hanya menerima bidaan daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menjadikan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023 selepas proses bidaan ditutup pada (24 Mei 2023) jam 5.00 petang.#PialaFA2023 #DemiLigaKita
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 1, 2023
Selain itu, hanya JDT sahaja yang mengemukakan permohonan yang mana menyaksikan tiada sebarang bidaan mahupun permohonan lanjutan tempoh bidaan yang dibuka sejak 19 Mei sehingga 24 Mei yang lalu daripada mana-mana kelab lain.
Sebagai tambahan, sebanyak 11 bidang pematuhan utama telah ditetapkan MFL yang perlu dipatuhi kelab dan venue perlawanan yang hendak dinamakan seperti yang termaktub di dalam Manual Liga Malaysia 2023.
Untuk makluman semua, perlawanan akhir Piala FA 2023 telah dijadualkan berlangsung pada 22 Julai dengan kejohanan tersebut kini memasuki peringkat separuh akhir melibatkan empat pasukan iaitu JDT, Terengganu FC, Kuala Lumpur City (KL City) FC dan Selangor FC.
Featured Image: Johor Southern Tigers