Sam Allardyce Undur Diri Selepas Leeds United Tersingkir Daripada EPL
June 2, 2023 Meor Mohamad Amirul

Selepas mengemudi empat perlawanan, jurulatih berpengalaman, Sam Allardyce sah tidak akan bersama Leeds United.

Menurut laporan media antarabangsa, GOAL yang memetik The Telegraph, keputusan pengurus yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Big Sam’ itu dibuat selepas berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Angus Kinnear.

Ini bermakna skuad berjulukan The Whites itu perlu mencari pengendali baharu untuk menghadapi Liga Kejuaraan musim depan. 

Pada awal Mei lalu, Leeds United telah menekan butang panik apabila melantik “survival specialist”, Sam Allardyce untuk membantu The Whites itu untuk keluar dari zon penyingkiran.

Bagaimanapun, takdir sudah tertulis buat pasukan yang berpengkalan di Elland Road itu untuk kembali ke Liga Kejuaraan selepas tiga musim berada di Liga Perdana Inggeris.

Leeds United tersingkir ekoran menamatkan musim di tangga ke-19 liga dengan mengutip 31 mata.

Untuk makluman, Sam Allardyce merupakan pengurus ketiga yang dilantik Leeds United pada musim ini selepas Jesse Marsch dan Javi Garcia meninggalkan pasukan pada Februari dan Mei masing-masing.

Featured Image: Leeds United FC

Komen