VIDEO: Safee Sali Meledak, Atasi West Ham United di Amerika Syarikat
June 2, 2023 Meor Mohamad Amirul

Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali ‘keluar’ dari persaraannya untuk beraksi dalam kejohanan bola sepak tujuh sebelah, The Soccer Tournament (TST) di Amerika Syarikat, semalam. 

Untuk makluman, TST merupakan sebuah kejohanan melibatkan pemain professional, semi professional dan bekas pemain yang beraksi bagi merebut hadiah utama bernilai AS$1,000,000.

Dalam kejohanan tersebut, ketajaman Safee yang mewakili Far East United masih menyerlah apabila berhasil menyumbangkan satu jaringan setelah menerima hantaran Fellipe Souza dan terus menggelecek di hadapan sebelum menumpaskan penjaga gol West Ham United, David Martin.

Jaringan oleh penyerang berusia 39 tahun itu membantu pasukannya memenangi perlawanan pertama bagi Kumpulan D dengan keputusan 4-2. 

Bagaimanapun, pasukannya tewas pada aksi kedua peringkat kumpulan menentang Culture By Mo Ali FC dengan skor 0-2 sekaligus memerlukan kemenangan menentang Dallas United untuk mara ke pusingan 16. 

Untuk makluman, Far East United, pasukan yang diwakili Safee mengumpulkan beberapa bekas pemain kebangsaan dari asia tenggara dan Kepulauan Pasifik seperti Greg Nwokolo (Indonesia), Charyl Chappius (Thailand) dan Bienvenido Maranon (Filipina). 

West Ham United pula tampil dengan beberapa bekas pemain dan pemain akademi kelab tersebut seperti Anton Ferdinand, Carlton Cole, Kennan Forson dan Hayden Mullins. 

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan melibatkan Far East United dan Dallas United akan berlangsung pada 10:30 malam (waktu Malaysia).

Featured Image: The Soccer Tournament

Komen