Artikel

Ronaldo Kekal Di Bumi Arab Saudi, Nafi Kembali Ke Eropah

Atlet berpendapatan tertinggi dunia 2023 menurut Forbes, Cristiano Ronaldo mengesahkan dirinya akan kekal bersama kelabnya yang disertai sejak Januari lalu, Al Nassr yang beraksi dalam kancah Liga Pro Saudi (SPL).

Pengesahan itu hadir selepas bintang bola sepak dari Portugal itu bercakap dalam satu temu bual sepertimana dilaporkan pelbagai media berpangkalan di eropah.

Terlebih dahulu, pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali ini memuji liga di negara tersebut sebagai liga yang kompetitif serta mempunyai pasukan dan pemain yang bagus. 

Pada masa yang sama, Ronaldo menekankan bahawa ianya masih mempunyai ruang untuk dikembangkan lagi terutamanya dalam aspek infrastruktur, pengadil dan sistem video bantuan pengadil (VAR).

“Tetapi saya gembira di sini, saya mahu terus berada di sini, saya akan terus di sini. Dan pada pendapat saya jika mereka teruskan usaha yang mereka mahu usahakan di sini, untuk lima tahun berikutnya, saya merasakan Liga Saudi akan menjadi sebuah liga dalam kelompok lima terbaik dunia,” katanya seperti dipetik daripada ESPN.

Perkembangan ini sekaligus menafikan beberapa laporan media yang menyatakannya mahu kembali ke eropah.

Sejak menyertai Al Nassr pada penghujung Disember lalu, pemain berusia 38 tahun ini telah tampil sebanyak 19 kali dengan mencetak 14 gol serta mencipta 2 bantuan gol (assist).

Bagaimanapun, statistik itu tidak dapat membantu Al Nassr merangkul kejuaraan pada musim ini sebaliknya terpaksa berpuasa hati dengan gelaran naib juara SPL. Manakala untuk saingan King’s Cup pula menyaksikan Al Nassr terkandas di peringkat separuh akhir.

Featured Image: Al Nassr FC

komen