Hamidin Berdialog Dengan Penyokong Dalam Sesi ‘Town Hall’ Di Terengganu Pada 15 Jun
June 6, 2023 Hafizuddin Omar

Para peminat dan penyokong bola sepak tanah air berpeluang untuk bertemu, berdialog serta bertanyakan soalan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin dalam sesi ‘town hall’ yang dianjurkan dalam Festival Harimau Malaya Terengganu 2023.

Menurut penganjur, sesi ini akan dikendalikan oleh hos podsiar Ultras Kuaci iaitu Karami Kamel selaku moderator. Ianya dijadualkan berlangsung bermula 8.30 malam pada 15 Jun (Khamis) bertempat di Raia Hotel Terengganu. 

Sesi ini akan diadakan secara percuma namun individu-individu yang berminat untuk menyertainya perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu. Difahamkan, sesi pendaftaran akan dibuka oleh penganjur bermula esok (7 Jun) atau lusa (8 Jun).

Bagi yang tidak dapat menyertainya secara fizikal atas faktor keterbatasan waktu dan jarak, penganjur turut mengesahkan sesi ‘town hall’ bersama Hamidin yang merupakan Ahli Majlis FIFA ini akan disiarkan secara langsung oleh Balrz.tv menerusi platform media sosialnya.

Untuk makluman semua, selain daripada sesi town hall melibatkan Presiden FAM bersama penyokong, Festival Harimau Malaya Terengganu 2023 ini turut dimeriahkan dengan pelbagai acara lain seperti pameran jualan, persembahan pentas, kejohanan bola sepak, cabaran penalti, night games, night fun ride, cabaran e-sport, aktiviti kanak-kanak, food truck, cabutan bertuah dan banyak lagi.

Festival ini diadakan bersempena dengan perlawanan persahabatan antarabangsa skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon menentang Kepulauan Solomon (14 Jun) dan Papua New Guinea (20 Jun) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA), Gong Badak, Terengganu.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen