Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2023, Leong Jun Hao yang mara ke suku akhir Terbuka Thailand 2023 kini semakin menghampiri kelompok 50 perseorangan lelaki terbaik dunia.
Ini selepas kemaskini terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini yang menyaksikan kedudukan Jun Hao meningkat sebanyak 14 anak tangga berbanding minggu lalu.
Ianya sekaligus meletakkan perseorangan lelaki berusia 24 tahun itu di kedudukan ke-51 dunia dengan pungutan 25,858 mata.
Kedudukan itu juga bermakna Jun Hao meletakkan dirinya sebagai perseorangan lelaki No.5 negara selepas berjaya memintas seorang lagi pelapis perseorangan lelaki negara, Justin Hoh jatuh ke tangga ke-52 dunia.
Untuk makluman, Jun Hao berpeluang untuk berada di dalam kelompok 50 terbaik dunia dalam kejohanannya yang seterusnya sekiranya berjaya mengatasi pungutan 26,131 mata Chi Yu Jen dari Chinese Taipei – berbeza 138 mata sahaja.
Pada minggu lalu, Leong Jun Hao berjaya mara ke peringkat suku akhir Terbuka Thailand 2022 sebelum tewas kepada bekas juara remaja Asia, Lakhsya Sen dan mengumpul 5,040 mata kejohanan.
Dalam pada itu, Ng Tze Yong pula kini menghampiri kelompok 20 terbaik dunia apabila kembali menghuni tangga ke-21 dunia manakala jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kekal di tangga ke-10 dunia dalam kemaskini terbaharu ranking BWF.
Featured Image: Badminton Thailand | Thailand Open 2023