Kedudukan pasangan badminton wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dalam kedudukan Ranking Dunia BWF terus mencatatkan kejatuhan.
Kemaskini terbaru oleh badan induk berkenaan pada hari ini menyaksikan Pearly-Thinaah jatuh satu anak tangga berbanding kedudukan mereka pada minggu lalu sekaligus menghuni tangga ke-12 dunia, pada minggu ini.
Untuk makluman, kejatuhan mereka itu disebabkan oleh gandingan adik beradik dari Thailand, Benyapa Aimsaard dan Nuntakarn Aimsaard yang muncul naib juara Terbuka Thailand pada Ahad lalu.
Kejayaan itu sekaligus gandingan berusia 20 dan 24 tahun masing-masing itu mengumpul 67,955 mata secara keseluruhan mengatasi 66,301 mata kepunyaan Pearly-Thinaah yang tidak beraksi dalam kejohanan terbabit sepanjang minggu lalu.
Sebagai rekod, ini merupakan julung kalinya sejak awal Mei 2022 Pearly-Thinaah yang menjuarai Terbuka Perancis 2022 terkeluar daripada kelompok 11 pasangan wanita terbaik dunia.
Sementara itu, kemaskini pada hari ini turut menyaksikan gandingan beregu wanita bebas (independent), Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien turut jatuh satu anak tangga dan menghuni ranking ke-21 dunia.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023