Ranking BWF: Juara Dunia Jatuh Satu Lagi Anak Tangga
June 6, 2023 Hafizuddin Omar

Kedudukan juara Kejohanan Dunia BWF 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dalam Ranking Dunia terus mencatatkan kejatuhan.

Kemaskini terbaru oleh badan induk, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan beregu lelaki No.1 tanah air turun satu anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-4 dunia pada minggu ini.

Ini merupakan minggu kedua berturut-turut Aaron-Wooi Yik mengalami kejatahun selepas kali terakhir berada di ranking kedua dunia pada minggu ke-21.

Untuk makluman, tempat ketiga tersebut dirampas oleh beregu China, Liang Wei Keng dan Wang Chang yang muncul juara Terbuka Thailand selepas menumpaskan gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana dalam perlawanan akhir yang berlangsung, Ahad lalu.

Kini, gandingan dari negara tembok China terbabit mempunyai 77,591 mata sementara Aaron-Wooi Yik pula mengumpul 77,094 mata – perbezaan sebanyak 497 mata sahaja.

Sementara itu, tiada perubahan kedudukan dikesan terhadap beberapa lagi beregu lelaki tanah air dengan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong kekal di tangga ketujuh, ke-22 dan ke-44 masing-masing.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen