Penyerang kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai telah menamatkan kontraknya bersama kelab Ligue 2 Perancis, Pau FC biarpun kontraknya masih berbaki setahun untuk kembali ke Vietnam.
Pengumuman tersebut dikongsikan Michele Fersini, wakil Quang Hai di Pau FC kepada media Perancis, La Rép des Pyrénées yang telah dilaporkan semula oleh akhbar dalam talian Vietnam, VietnamNet Global.
Fersini berkata, Quang Hai telah bertemu presiden kelab, Bernard Laporte Fray dan mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak dua hari selepas perjumpaan mereka pada 1 Jun lalu.
Sebelum ini, penyerang berusia 26 tahun itu telah berkelana ke bumi Perancis bagi menyertai Pau FC selama dua tahun. Dalam pada itu, Fray selaku presiden kelab mengakui kehadiran Quang Hai di kelab itu adalah untuk tujuan pemasaran.
Untuk makluman, Quang Hai menjadi pemain pertama negara tersebut beraksi di salah satu negara kuasa besar bola sepak dunia.
Bagaimanapun, perjalanan karier Quang Hai di Perancis tidaklah seindah yang disangka. Quang Hai gagal menyinar bersama skuad utama dan terpaksa bermain bersama Pau FC 2 yang beraksi di divisyen kelima liga Perancis.
Di rantau asia tenggara, nama Quang Hai cukup digeruni apabila berjaya membantu Vietnam menjuarai Piala AFF 2019 dan menjadi sebahagian daripada skuad emas mereka layak ke pusingan akhir kelayakan zon Asia Piala Dunia 2022.
Featured Image: Pau Football Club